Rahsia jutawan muda
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my
TOMOK sangat akrab dan manja dengan ibunya.
Tomok simpan segala kesukaran ketika mula bertapak dengan kumpulan New Boyz daripada ibunya, Siti Fatimah Harun
SINAR matanya yang redup pada pertemuan petang Rabu lalu menterjemahkan perasaan terharu dan bangga atas pencapaian anak lelakinya yang kini bergelar jutawan muda selepas menjuarai pertandingan realiti, One In A Million (OIAM), seminggu lalu.
Bicaranya pula menumpahkan seluruh rasa kasih dan sayang, tanpa batas dan sempadan terhadap kesungguhan anak yang membahagiakan ibu bapanya menerusi bakat kurniaan Allah.
Tiada pernah Siti Fatimah Harun, 50, menyangka kerja keras anak yang begitu mencintai dunia nyanyian akhirnya dihargai pencinta seni dengan penghargaan yang terlalu tinggi.
Malah katanya, OIAM juga mendedahkan sebuah rahsia yang selama ini tersimpan kemas jauh di sudut hati anak kesayangannya itu.
Hanya selepas menonton OIAM baru Fatimah memahami perit jerih yang terpaksa dilalui Tomok untuk membuktikan kepada peminat bakat besar yang dimilikinya.
KENANGAN ketika zaman kanak-kanak bersama kakaknya, Isma yang kini menyertai AF7.
Tidak sesekali dia menyangka anak lelakinya itu begitu kuat menyimpan rahsia, menyembunyi segala kepedihan hanya untuk menggapai cita-citanya sebagai penyanyi.
Air mata kakitangan Koperasi Bank Islam cawangan Maju Junction, Kuala Lumpur ini, mengalir deras tatkala mendengar luahan Tomok akan kesukaran yang ditempuhinya ketika mula bertapak dengan kumpulan New Boyz.
"Saya tidak pernah tahu dia dibaling batu dan telur ketika mula menyanyi dulu. Tomok tidak pernah bercerita semua itu kepada saya.
"Mungkin sudah menjadi sikapnya, tidak suka menyusahkan sesiapa atau membuat keluarga bimbang. Selalunya setiap kali pulang dari persembahan, Tomok akan berkurung dalam bilik. Tidak pernah dia bersuara atau duduk bercerita mengenai persembahan yang dijayakannya.
AKTIF bermain muzik di sekolah.
"Jika tidak kerana OIAM, saya sendiri tidak tahu begitu sukar laluan Tomok untuk mengejar cita-citanya. Melihat dia menangis, saya turut sama mengalirkan air mata mengenangkan betapa kuat semangatnya untuk berjaya," katanya sebak.
Sesi fotografi yang disusun khas sebagai meraikan sambutan Hari Ibu pada 9 Mei ini juga banyak mengenalkan khalayak siapa sebenar insan yang memiliki nama penuh, Shah Indrawan Ismail, 24, ini.
Tomok di mata Fatimah ialah seorang anak yang bertanggungjawab dan sentiasa mendahulukan kepentingan insan yang disayanginya. Setiap wang hasil menjayakan persembahan bersama New Boyz dulu tidak pernah disorok daripada pengetahuan keluarga.
Bukan bermakna keluarga mengongkong segala perbelanjaan dan kemahuannya, cuma Tomok senang melihat rezeki yang diterima dikongsi bersama keluarga tercinta.
"Rumah tempat kami bernaung ini Tomok yang bayarkan wang pendahuluan. Bapanya cuma menyambung ansuran bulanan. Dia pandai berjimat, jarang boros membeli itu ini walaupun sudah punya wang sendiri pada usia muda," katanya.
Akui Fatimah, apa yang dikecapi Tomok hari ini adalah hasil usaha kerasnya selama ini. Usaha yang tidak pernah kenal erti lelah dan jemu, biarpun dugaan tidak pernah jemu menyapa sepanjang perjalanan itu.
Sebuah pesanan untuk anak kesayangannya, jangan melupai jasa mereka yang menyokong perjuangannya sepanjang di OIAM.
Disebabkan itu kata Fatimah, dia sentiasa berdoa semoga Tuhan tidak mengubah sikap anaknya serta dijauhi perkara yang boleh merosakkan nama baik mereka sekeluarga.
"Sampai sekarang saya tidak benarkan dia pulang lewat malam. Selagi dia tiada di rumah, selagi itu saya tidak akan melelapkan mata.
"Alhamdulillah, Tomok memang mendengar kata. Jarang dia membantah kerana dia tahu, apa yang kami lakukan ini untuk kebaikannya sendiri," katanya mengenai anak keempat daripada enam adik beradik itu.
Sepanjang Tomok menyertai OIAM, rutin kehidupan keluarga Fatimah juga mengalami perubahan. Dia tidak akan membiarkan Tomok berjuang sendirian, malah dirinya sentiasa hadir di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral untuk memberi sokongan.
"Ibu mana yang tidak mahu melihat anaknya berjaya? Sekuat mana pun saya mahu Tomok menang, saya tidak mampu menahan suratan yang ditakdirkan Tuhan. Ketika Tomok diumumkan hampir tersingkir, hati saya luluh.
"Sedih dan pedih kerana saya tahu dia bekerja keras untuk berada dalam Top 3. Alhamdulillah, semua itu hanya gimik kerana akhirnya Tomok layak juga bertanding.
"Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua pihak yang melihat kelebihan serta kekuatan bakat Tomok. Jasa mereka tidak mampu kami balas dengan wang ringgit.
"Hanya ucapan terima kasih dapat diberikan kerana sokongan mereka meletakkan Tomok pada kedudukan sangat istimewa," katanya.
Selain Tomok, anak kedua Fatimah, Ismaliza Ismail atau Isma sedang berjuang dalam program realiti popular, Akademi Fantasia (AF) 7.
Kejayaan 'basuh' segala kritikan
MENITI 10 minggu yang penuh kejutan, Tomok sendiri tidak menyangka dia mampu bertahan hingga ke final dan menjulang gelaran juara.
Selama tempoh itu kata Tomok, dia sentiasa mengingatkan diri segala kemungkinan yang akan berlaku serta bersedia menerima jika ditakdirkan perjuangannya menemui noktah awal.
Kejayaan yang disifatkan anak kelahiran Kuala Lumpur itu sebagai membasuh segala kritikan serta serangan yang diterimanya apabila mengambil keputusan untuk menyertai program realiti itu.
"Saya kuatkan semangat, malah tidak mahu terlalu memikirkan kritikan negatif sebaliknya setiap minggu berusaha memperbaiki kelemahan.
"Hanya selepas membawakan lagu Crazy In Love, saya mendapat semangat dan kekuatan untuk terus berkarya apabila menerima pelbagai reaksi positif.
"Daripada situ saya memperoleh kepercayaan dan alhamdulillah, semua pengorbanan itu berbayar menerusi kemenangan ini," katanya terharu.
Meraih gelaran juara kata Tomok, mengubah drastik segala pandangan umum terhadap kemampuan dan bakatnya yang selama ini dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak.
Merendah diri kata Tomok yang pernah merakamkan enam album bersama New Boyz, dia bersyukur kerana kelahiran semulanya diterima positif peminat sekali gus memudahkan laluannya untuk bergerak solo.
Akuinya, kalau bukan kerana OIAM barangkali sukar untuk dia menepis tanggapan yang pernah dilemparkan kepada kumpulan yang terkenal dengan identiti 'lagu leleh' itu.
"Saya pernah lalui zaman sukar sebagai artis, justeru tidak sesekali menyangka akan mampu mendaki tahap ini. Segala pengalaman pahit dulu seakan terhapus dengan kemenangan ini," katanya.
Ketika nama masih panas, Tomok berharap dapat merealisasikan impian untuk memiliki album penuh dalam tiga bulan terdekat ini.
Ingin sekali bekerja dengan Aubrey Suwito dan Audi Mok, Tomok yang turut mengagumi kejayaan Faizal Tahir juga berharap akan dapat membawakan sentuhan penyanyi lelaki popular itu.
"Dia banyak memberikan inspirasi untuk persembahan saya sepanjang berada di OIAM, selain membuat rujukan daripada kumpulan popular antarabangsa seperti My Chemical Romance dan Muse.
"Alhamdulillah, ruang yang diberi OIAM terlalu luas untuk menyerlahkan kematangan saya dalam bermuzik. Inilah Tomok yang baru," katanya.
I BELIEVE I CAN FLY BY HAFIZ AF7 WITH LYRICS
HAFIZ AF7
I BELIEVE I CAN FLY
Friday, May 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment